Tidak Mencegah Kemungkaran


Antara matlamat ibadah sembahyang yang sangat popular ialah yang disebut oleh ayat yang maksudnya,
‘Dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar.’ (al-Ankabut, 29: 45)
Jadi ibadah sembahyang yang tidak mencapai maksud ayat ini mungkin ditolak.
Mungkin ramai akan bertanya, umpamanya, apakah perkaitan antara kemungkaran dengan ibadah sembahyang, atau bagaimanakah ibadah ini dapat mencegah dari perbuatan yang dimaksudkan itu? Tanggapan kita terhadap ibadah sembahyang itu yang menjadi asasnya untuk jawapannya: jika kita melihat ibadah-ibadah yang diwajibkan kita menunaikannya itu ada matlamat dan tujuannya di sana kita dapat melihat perkaitannya.
Untuk mencapai matlamatnya, syaratnya ialah memahami erti bacaan-bacaan, pergerakan-pergerakan, dan maksud yang tersirat di sebalik hukum-hakamnya.
Misalnya, kalimah Bismillah yang bermaksud dengan nama Allah dalam surah al-Fatihah yang kita baca setiap kali mendirikan sembahyang itu sebenarnya sudah cukup untuk dijadikan tool mencegah perbuatan keji dan mungkar. Begitu juga dengan kalimah Alhamdulillah yang diterjemah sebagai segala puji bagi Allah itu. Syaratnya, kita harus menyelami takrifan malah konsepnya sekali, bukan setakat mengetahui terjemahannya sahaja.
Jadi bagi muka surat ini akan mengajak pembaca melihat bagaimana caranya menjadikan dua kalimah itu sebagai tool mencegah kemungkaran, sekali gus merealisasikan matlamat ayat 45 surah al-Ankabut, di samping yang lain-lain lagi. Kita ambil kalimah  bismillah itu sebagai contoh.
Jika kita melihat dua kalimah itu dari luarannya sahaja, kita tidak akan faham hubungannya dengan pencegahan kemungkaran. Misalnya, jika kalimah Bismillah itu hanya menjadi ucapan-ucapan ketika hendak melakukan sesuatu sahaja, misalnya ketika hendak makan kita melafazkan Bismillah, ketika hendak memandu kita melafaz Bismillah, dan sebagainya, tidak menampakkan perkaitannya dengan pencegahan kemungkaran. Sementara kalimah Alhamdulillah itu secara praktiknya diucapkan ketika memperoleh sesuatu yang kita hajati, atau sebagai tanda terima kasih atas pemberian atau pertolongan seseorang sahaja. Tetapi jika memahami takrifannya dan konsepnya, baru kita sedar kedua-dua kalimah ini sebenarnya mempunyai roh yang boleh mencegah kemungkaran. 

Roh Bismillah 
Kita lihat maksud dan konsep kalimah ini dulu. Apakah konsep kalimah bismillah dalam ayat 1 surah al-Fatihah berbunyi Bismillahir-rahmaanir-rahim.
Kita lihat ayat ini dimulakan dengan kalimah Bismillah, yang lebih-kurangnya bermaksud dengan nama Allah. Frasa kata dengan nama Allah itu jika dibandingkan dengan ayat 1 surah al-‘Alaq, yang berbunyi Iqra’ bismirabbika yang ertinya ialah bacalah dengan nama Tuhan-mu. Yang kedua ini ada perkataan perbuatan iaitu baca (iqra') manakala yang pertama itu tidak ada. Apakah rahsianya? Kita lihat seolah-olah Allah swt sengaja membina ayat terbuka, yang harus diisi dengan perkataan perbuatan juga jika hendak dipadankan dengan ayat 1 surah al-'Alaq. 
Jika kita mengambil iktibar dari ayat iqra' bismirabbika seakan-akan Allah meminta kita memasukkan sendiri perkataan perbuatan sebelum bismillah. Jadi jika kita masukkan perkataan makan maka jadilah ayat yang sepadan dengan iqra itu, makan dengan nama Allah.
Kefahaman inilah yang menjadikan kalimah bismillah itu sebagai tool yang mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Kerana, adalah tidak wajar untuk memasukkan perkataan perbuatan seperti menipu ke dalam bismillah kerana menipu itu satu kemungkaran. Jadi dengan secara tidak langsung sesiapa sahaja yang hendak melakukan perbuatan keji dan mungkar seperti menipu itu tadi terpaksa melupakan kalimah bismillah itu. Dengan kata lain sesiapa pun tidak akan membaca bismillah ketika hendak menipu.
Nah, inilah perkaitan antara sembahyang dengan kemungkaran menipu sebagai contoh. dapatlah kita lihat bagaimana kalimah bismillah itu boleh menjadi tool mencegah perbuatan mungkar. Jadi di sini dikatakan bahawa kalimah bismillah itu ada rohnya, yang boleh diterjemahkan menjadi tool pencegahan kemungkaran.

Roh hukum-hakam dalam bab sembahyang
 Menghalang lalu-lintas adalah satu bentuk kemungkaran juga. Apakah perkaitannya dengan ibadah sembahyang.
Dalam bab sembahyang ada satu hukum yang menyebut, Makruh sembahyang di tempat yang banyak orang lalu seperti di tempat tawaf dan barang sebagainya. Hukum ini disebut oleh kitab Sabilal-muhtadin. Hukum ini asalnya digunakan untuk sembahyang sahaja. Namun sebenarnya hukum ini ada juga rohnya, yang boleh diterjemahkan ke dalam bentuk etika dan peraturan hidup. Ia mengajar erti jangan membuat halangan.
Tempat-tempatnya ialah seperti yang disebut di tempat yang banyak orang lalu. Bolehlah kita sebutkan satu dua sahaja, iaitu seperti kakilima kompleks perniagaan, lorong-lorong kawasan membeli-belah, depan pintu rumah, lorong-lorong belakang rumah teres dan sebagainya. 
Jadi janganlah kita membuat halangan ditempat-tempat tersebut dengan cara misalnya bersembang atau meletakkan meja makan restoran di kakilima, meletakkan kenderaan atau apa sahaja yang boleh menutup laluan belakang lorong rumah teres, meletakkan kasut dan selipar di depan pintu rumah, dan sebagainya.
Banyak lagi hukum-hakam dalam bab sembahyang yang mempunyai rohnya. Antara lain ialah Siapa yang makan bawang atau kucai janganlah mendekati masjid (untuk berjemaah), lebih baik sembahyang di rumah sahaja, hukum ini disebut dalam bentuk hadis Nabi saw. Apakah iktibarnya. Antara lain lagi Makruh menjahar bacaan, hukum ini dikenakan kepada makmum ketika mendirikan sembahyang berjemaah. Fikirkanlah iktibar dari dua hukum ini, yang berkait dengan kemungkaran.
Banyak lagi elemen-elemen dalam ibadah sembahyang itu sendiri yang dapat dijadikan tool mencegah perbuatan keji dan mungkar. Dari bacaan-bacaan misalnya ada kalimah alhamdulillah, lailaha-illallah, doa-doa yang kita panjatkan; dari rukun feelinya misalnya hukum duduk istirahat, hukum menoleh ketika sembahyang, meninggalkan tempat sembahyang sebaik selesai sembahyang berjemaah; dari hukum-hakamnya pula misalnya hukum makan bawang putih, petai, jering atau kerdas, hukum membaca kuat ketika berjemaah, hukum memakai pakaian bercorak atau bertulis.
Dua hukum yang saya tinggalkan untuk anda menjawabnya sendiri adalah penjelasannya dalam buku berjudul SEMBAHYANG ANDA MUNGKIN DITOLAK Walaupun Sah, terbitan Karisma Puslishing. Inilah kelainan buku ini berbanding yang lain-lain. Buku ini ditulis berdasarkan analisa hukum-hakam dalam bab sembahyang, sedangkan yang lain-lain selalunya dituliskan apa yang boleh dan tidak boleh, perkara-perkara yang menyebabkan sah atau batal sembahyang. Jadi setelah anda membaca buku ini anda akan dapati bahawa sembahyang kita bukan setakat didirikan zat sahaja tetapi harus yang mencapai matlamatnya sekali. 
Dari beberapa contoh di atas ini menunjukkan antara matlamat ibadah sembahyang kita adalah mencegah dari melakukan perbuatan keji dan mungkar. Jadi sembahyang yang tidak dapat mendidik pengamalnya menjadi orang yang menjauhi perbuatan keji dan mungkar besar kemungkinannya ditolak.

No comments:

Post a Comment