Wednesday, March 30, 2016

Sembahyang untuk mencapai kesihatan jasmani dan rohani

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini, yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi. Ini kerana perubahan warna itu akan terakam oleh filem (ketika kamera menggunakan filem satu ketika dulu). Kini apabila filem digantikan dengan memori hal yang sama terjadi, di mana gambar yang kita ambil dipengaruhi oleh warna-warna tertentu bagi waktu-waktu tertentu.
Mengikut kenyataan di atas ini fenomena menunjukkan bahawa warna yang terakam oleh kamera adalah berbeza-beza bagi waktu-wkatu solat. Pada awal-awal waktu subuh gambar yang terakam menunjukkan ada kesan-kesan warna kebiruan. Ini kerana alam (dunia) kita diselaputi warna biru muda dari spektrum warna matahari. Sebelum masuk waktu Zohor warna ini beransur-ansur menjadi hijau, sebelum bertukar sepenuhnya menjadi kuning menjelang watu Zohor. Begitu juga bagi waktu-waktu asar, maghrib dan isya', warna yang terakam oleh filem sudah berubah menjadi warna yang lain pula. Perubahan warna ini adalah secara beransur-ansur. Misalnya, pada awal waktu subuh warna biru muda itu tadi adalah yang paling kuat, dan akan beransur-ansur hilang, dan sebaik menjelang waktu zohor warna biru muda itu sudah tiada lagi, digantikan oleh warna hijau.
Apakah kepentingannya. Kepentingannya adalah berkait dengan jasmani diri kita. Sedar atau tidak, tahu atau tidak tahu bahawa jasmani (susuk badan) kita terkesan oleh warna-warna ini. Lebih khusus lagi jika disebutkan iaitu jasmani kita mendapat kesan dari frekuensi gelombang warna-warna spektrum cahaya matahari.


Waktu Subuh:
Pada waktu Subuh alam kita berada dalam spektrum warna biru muda, yang bersamaan dengan frekuensi getaran tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Persamaan frekuensi ini dikatakan sebagai perawatan terhadap tiroid.
Ini seakan-akan hendak menyatakan bahawa warna biru muda pada waktu Subuh merupakan penawar yang berkait dengan komunikasi. Dengan kata lain orang yang selalu mendirikan solat Subuh pada awal-awal waktu mendapat rezeki (kesihatan).
Kesannya yang paling kuat ialah pada awal-awal waktu. Justeru, mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya atau terlewat secara berulang-kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi. Bagi orang yang masih tidur pada saat-saat tersebut tenaga alam iaitu warna biru muda itu tadi tidak dapat diserap oleh tiroid kerana tiroid berada dalam keadaan rehat. Perawatan tiroid hanya berlaku jika seseorang dalam keadaan jaga iaitu ketika keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa).
Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat pada awal-awal waktu. Dari saat bermulanya waktu azan Subuh tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan ketika rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar akan mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zohor:
Warna seterusnya berubah menjadi warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian bertukar menjadi kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati, iaitu yang berkaitan dengan sistem penghadaman.
Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat waktu Zohornya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang keceriaannya. Cuba ingat, orang yang sakit perut ceria tak?

Waktu Asar:
Sebaik masuk waktu Asar warna alam akan berubah kepada warna oren. Spektrum warna ini adalah bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis, yang merangkumi sistem reproduksi (pembiakan).
Rahsia warna oren ialah kreativiti. Justeru orang yang kerap tertinggal waktu Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ini jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ini amat diperlukan oleh organ-organ pembiakan kita. Nak subur? Sila segerakan solat Asar.

Waktu Maghrib:
Menjelang waktu Maghrib alam berubah menjadi warna merah, dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang tua-tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna merah menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red). Ini bermakna pada waktu ini jin dan iblis amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam.
Mereka yang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini. Sementelah berhenti tu solatlah sekali) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita.
Rahsia warna merah waktu Maghrib ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang. 

Waktu Isyak:
Apabila masuk waktu Isyak alam berubah menjadi warna Indigo, dan seterusnya memasuki fasa kegelapan. Waktu ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian, di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan waktu Isyaknya akan selalu berada dalam keadaan kegelisahan.
Waktu ini alam berada dalam kegelapan, dan sebetulnya inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil delta, di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Selepas tengah malam:
Selepas tengah malam alam mula bersinar kembali dengan warna putih merah jambu dan seterusnya ungu, di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Mengikut Islam, tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini (yang dipanggil Qiamullail).

Bagitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan kejadian jasmani diri kita. Dan begitulah qada' dan qadar Allah swt menjadikan matahari dan bumi agar qadarnya ialah berada dalam orbit mengelilingi matahari dalam satu sistem dipanggil sistem solar. Perubahan warna itu adalah berkait dengan putaran bumi.
Manusia kini sebenarnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini. Inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah dikurniakan syariat solat oleh Allah swt - tanpa perlu lagi memeras otak memikirkan apa kaedah yang hendak digunakan bagi menyerap tenaga alam ini.
Hakikatnya, ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah mewajibkan solat ke atas hambanya. Atas sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang-Nya, sebagai Pencipta kerana Dia tahu hambanya ini amat-amat memerlukan-Nya. Hal ini disebut oleh ayat 5 surah al-Fatihah yang berbunyi waiyyaka nastain. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga waktu solatnya. Lebih malang sekali jika ada manusia yang memperlekehkan soal solat, termasuklah mereka yang masih tertanya-tanya apakah perlunya syariat Islam.

(Artikel ini tidak berhajat untuk menjelaskan istilah-istilah yang saintifik seperti resonan, frekuensi dan sebagainya. Pembaca harus mencarinya. Itu sebabnya kita diwajibkan mencari ilmu terutama sekali yang berkaitan dengan ilmu sains, kerana ilmu sains adalah jawapan-jawapan kepada persoalan tentang ciptaan Tuhan yang kita sering sebut qada' dan qadar itu).
Artike ini akan diupdate dengan memasukkan fakta-fakta yang difikirkan ada berkaitan dengan kecacatan anak sejak lahir. Misalnya sebuah hadis menyebut “Wahai Ali..! janganlah berjima’ dengan isterimu selepas zuhor, sesungguhnya jika Allah swt mengurniakan kepada kamu berdua anak kerana jima’ pada waktu itu, maka ia akan bermata juling dan syaitan sangat suka kepada manusia yang bermata juling.”  Wallahu a'lam.

Jadi dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa bukan sahaja-sahaja Nabi saw memerintahkan agar kita mendirikan sembahyang di awal-awal waktu melainkan kerana di sana ada kebaikannya untu menusia itu sendiri. Yang bermaksud bahawa hukum ini bukanlah bertujuan untuk memberi kita peluang mengumpul pahala. Inilah yang dikatakan bahawa sesuatu hukum syariat itu ada alasan dan tujuannya. Mengikut contoh di atas ini tujuannya adalah untuk kesihatan dan kebaikan jasmani manusia.
Agama (Islam) sering mengingatkan agar kita menjadi seorang Islam yang aktif, bukan pasif. Seseorang Islam yang aktif akan sentiasa berfikir mengenai apa yang didengar, dilihat dan dibaca. Orang seperti ini tidak akan menerima sesuatu hukum yang diperolehinya dengan membabi buta sahaja tetapi akan melihat dan memikirkannya, paling kurang ia mencari rasionalnya, dan seterusnya mengenal pasti alasan dan tujuannya. 
Seseorang Islam yang pasif akan menerima sahaja sesuatu hukum yang didengarnya lalu melaksanakannya atau meninggalkannya. Dia tidak terlintas untuk melihat lebih jauh dari itu. Misalnya, jika hukum menyebut Sunat melangkah masuk ke dalam masjid dengan kaki kanan lalu diterimanya dan dilaksanakannya tanpa mengetahui alasan dan tujuannya. Maka hukum ini dilihatnya sebagai peluang untuk mencari pahala dari amalan sunat itu.
Lihatlah bagaimana sembahyang itu adalah ibadah yang wajib ditunaikan kerana diperintahkan semata-mata tetapi adalah yang mencapai tujuan dan alasan tertentu. Di atas ini adalah antara tujuannya, iaitu untuk mencapai kesihatan jasmani.

Monday, September 14, 2015

Kemungkinan sembahyang kita ditolak walaupun sah

Tidak mustahil jika dikatakan bahawa sembahyang kita ditolak walaupun sah. Banyak bukti dan gambaran tentangnya, yang kadangkala kita tidak terduga sama sekali umpamanya orang yang kita pandang sebagai seorang yang kita hormati pun sembahyangnya ditolak. Ini disebut oleh sebuah hadis, 
‘Tiga orang yang sembahyangnya tidak sampai melampaui telinganya, iaitu seorang budak yang melarikan diri sampai dia pulang kembali, seorang isteri yang semalaman suaminya murka kepadanya, dan seorang imam yang mengimami suatu kaum sedangkan kaum itu tidak menyukainya’. (HR Tarmizi dan Ahmad)
Seorang budak lelaki yang melarikan diri dari tanggungjawabnya di rumah sembahyangnya ditolak selama dia belum pulang ke rumah. Isunya di sini ialah meninggalkan tanggungjawab. Jadi maksud hadis ini termasuklah anak lelaki yang walaupun tinggal di rumah tetapi tidak melangsaikan tanggungjawab.
Seorang isteri yang semalaman suaminya murka juga sembahyangnya ditolak. Jika disebut semalaman seakan-akan menunjukkan kesalahannya adalah kerana mengelak dari melakukan hubungan kelamin. Memang ramai isteri yang sebegini. Bagaimanapun sebab kemarahan tidak terhad kepada kesalahan ini sahaja.
Paling menghairankan ialah seorang imam sembahyangnya ditolak kerana tidak disukai oleh kaumnya. Maksud kaumnya ialah para makmum di kariahnya. Ini yang paling jelas. Mengapa tidak disukai? Ada sebuah hadis lain imam tidak disukai kerana sering membaca surah yang panjang-panjang ketika mengimami sembahyang berjemaah. 
Nah sampai begitu sekali kita harus menjaga diri supaya sembahyang kita tidak ditolak. Banyak sebab-sebab lain, yang dituliskan dalam buku SEMBAHYANG ANDA MUNGKIN DITOLAK Walaupun Sah ialah kerana tidak membina akhlak dan keperibadian, tidak menegakkan hubungan antara manusia dengan Pencipta-nya, tidak menjauhkan perbuatan keji dan mungkar, tidak mendatangkan rahmat kepada orang lain dan sekalian makhluk
Bayangkan betapa ruginya jika sembahyang yang kita dirikan lima waktu sehari semalam, mungkin ditambah pula dengan sembahyang-sembahyang sunat tetapi ditolak walaupun sah.

Sunday, September 6, 2015

Apakah usaha kita untuk memelihara sembahyang kita

Semalam, Sabtu 5/9/15, dalam perjalanan saya ke Batu Pahat dan Keluang, saya singgah di R&R Pagoh untuk berhenti rehat sambil melepaskan dahaga. Saya duduk di salah sebuah meja makan bersama isteri. Di meja sebelah kanan saya ada sebuah keluarga dengan dua orang anak remajanya yang pada anggaran saya masih bersekolah menengah. Saya menyapanya dengan ucapan salam, sambil menghulurkan buku yang sengaja saya bawa, berjudul SEMBAHYANG ANDA MUNGKIN DITOLAK Walaupun Sah, yang saya tulis dan baru diterbitkan pada Julai 2015. Si suami menyambutnya dan memberikan kepada isterinya.
Respon pertamanya ialah kalimah MUNGKIN itu, sambil memberi sedikit komen katanya Menarik tajuknya, (sambil menuding kepada perkataan MUNGKIN. Dia menambah katanya Diterima atau ditolak sembahyang kita adalah kerja Allah. Saya mengiakan dengan sedikit terkilan. Namun sempat juga saya katakan, dalam buku ini ada sebuah hadis yang menyebut bahawa ada imam yang sembahyangnya ditolak. Si suami dan isteri sedikit tersentak. Lantas saya sarankan agar membacanya. Saya katakan banyak lagi sebab-sebab sembahyang ditolak walaupun sah.
Yang paling seronok bagi saya ialah kerana mereka membelinya, dengan harga tawaran rm20, walaupun harga asal ialah rm22. Saya seronok kerana mereka terpanggil untuk mengambil tahu sebab-sebab sembahyang ditolak, setelah saya menarik perhatian mereka bahawa soal-soal aktiviti kehidupan seharian kita adalah berkaitan dengan ibadah sembahyang -  saya beritahu misal nya soal parking kereta, menghalang laluan, membuat gangguan bising di khalayak ramai.
Saya memang sentiasa membawa sebuah dua buku tersebut untuk tujuan seperti di atas ini. Saya ingin mengajak seberapa ramai orang yang sembahyang membacanya, supaya mereka dapat menilai semula tujuan Allah mewajibkan kita mendirikan ibadah sembahyang. Kerana mengikut pengamatan dan pencerapan saya, saya dapati ramai orang yang mendirikan sembahyang, yang kaki masjid tetapi tujuan atau maqasid ibadah itu tidak kelihatan dalam kehidupan seharian mereka - banyak kemungkaran yang berkait dengan ibadah sembahyang mereka lakukan, walhal mereka biasa mendengar maksud ayat 45 surah al-Ankabut. Mengapa?
Inilah yang hendak saya perbetulkan. Inilah yang menjadi asas penulisan saya iaitu mengajak mereka mengenali maqasid ibadah sembahyang agar moto sembahyang adalah tiang agama menjadi kenyataan. Jadi ibadah sembahyang kita bukan sekadar untuk didirikan zatnya sahaja, tetapi maqasidnya harus tercapai, jika tidak, MUNGKIN DITOLAK Walaupun Sah. Sekian.
Selesai makan, kami sempat bercerita tentang latar belakang. Seronok juga apabila terdapat satu persamaan iaitu mereka tinggal di Gemas, saya pun pernah betugas sebagai guru di tempat yang sama. Satu lagi saya diberitahu mereka sedang dalam perjalanan ke Uni. Tun Hussin Onn Batu Pahat, untuk melawat anak mereka yang baru mendaftar di universiti tersebut. Mereka teruja juga bila saya beritahu bahawa saya juga hendak di tempat yang sama tetapi di kampung adik saya, berhampiran dengan pusat pengajian tersebut.
Selepas berpisah dan menyambung perjalanan masing-masing, dalam hati saya berbisik bahawa inilah antara orang-orang yang bersungguh memelihara sembahyangnya, walaupun mereka berpegang kepada tanggapan bahawa ditolak atau diterima adalah kerja Allah tetapi masih ingin mengambil tahu sebab-sebab sembahyang ditolak. Saya berdoa agar mereka tidak berserah bulat-bulat agar Allah menerima sembahyang mereka tetapi harus dilakukan juga usaha-usaha yang berkaitan. Saya berharap juga agar mereka dan sesiapa sahaja yang membeli buku tulisan saya menjalankan usaha memelihara sembahyang supaya tidak ditolak atas sebab-sebab yang di luar dugaan. Dan buat diri saya sendiri terus berdoa agar Allah memberi saya petunjuk agar dapat mengamalkan apa yang saya tulis.