Tidak Membina Akhlak/Keperibadian


Antara matlamat ibadah sembahyang kita ialah untuk membina keperibadian manusia seperti yang disebut oleh Prof. Dato’ Dr. Haron Din.Mengikut Kamus Dewan, peribadi bermakna sifat-sifat (kelakuan, sikap dan lain-lain) seseorang yang sudah sebati dengan diri sendiri untuk merupakan wataknya
Sikap dan kelakuan adalah suatu keperluan dalam kehidupan bermasyarakat bagi makhluk sosial iaitu manusia. Ianya bagi menentukan hubungan baik antara seorang dengan yang lain. Jadi sembahyang kita biarlah yang dapat membina akhlak dan keperibadian yang baik, bagi mengujudkan suasana keharmoniannya, agar terbina sebuah masyarakat yang aman sejahtera.
Hidup bermasyarakat adalah satu tuntutan nature bagi makhluk sosial dari sejak dilahirkan lagi. Dengan kata lain, manusia tidak perlu dipaksa hidup bermasyarakat, tetapi pengalaman mengajarnya bahawa dia tidak boleh hidup secara berasingan dan bersendirian. Jadi, apa pun jua alasannya, secara nature memang dia akan merasa bahawa dia perlu hidup bersama dengan orang lain dalam sebuah masyarakat, bekerjasama dan berkongsi hidup dengan orang lain.
Kehidupan bermasyarakat adalah satu tuntutan syariat seperti yang disebut dalam al-Quran,
‘Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidpan dunia, dan Kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat, agar sebahagian mereka dapat menggunakan sebahagian yang lain.' (az-Zukhruf, 43: 32)
Ayat ini menunjukkan bahawa manusia dicipta tidak serupa dalam segala kemungkinan dan keupayaan bertujuan agar ujud suasana saling memerlukan antara satu sama lain. Jika semua orang sama, tidak akan ada keperluan untuk mendapatkan apa-apa perkhidmatan atau  bantuan daripada orang lain.
Allah mencipta manusia yang serba berbeza dari segi fizikal, kapasiti rohani, intelektual dan emosinya; Allah mencipta manusia mengikut ukuran di mana setiap orang mempunyai kebolehan dan keupayaan yang tersendiri, mempunyai kelebihan dalam satu-satu bidang, tetapi kekurangan dalam bidang lain. Inilah yang menjadikan manusia saling memerlukan, dan mendorong untuk berinteraksi antara satu sama lain, dan inilah asas kehidupan sosial sesuatu masyarakat.
Jadi, adalah suatu yang semulajadi bahawa manusia saling memerlukan antara satu sama lain, untuk memenuhi keperluan masing-masing. Islam melarang umatnya untuk hidup menyendiri, tidak ambil peduli kepada orang lain, dan melakukan apa sahaja mengikut kemahuannya. Sebaliknya manusia perlu hidup bermasyarakat, berinteraksi satu sama lain. Inilah sebabnya hubungan antara sesama manusia, yang diungkapkan dengan hablumminannas itu, menjadi satu tuntutan syariat.
Hidup bermasyarakat bererti setiap orang akan terikat dengan satu sistem hidup, yang boleh dikatakan agak kompleks, kerana hidup seseorang adalah berkait dengan keperluan dirinya sendiri dan manusia lain: keperluan jasmani dan rohaninya sendiri, hubungan dengan ahli keluarganya, jirannya, masyarakat setempat dan masyarakat global, yang bererti kita harus berkongsi masa, tempat dan ruang yang satu untuk hidup. 
Justeru manusia tidak boleh melakukan apa sahaja yang dia mahu dan bila-bila masa yang dia mahu dan di mana yang dia mahu, walaupun dalam keadaan hidup dengan cara menyisihkan diri dari orang lain. Kebebasannya terhad oleh keperluan manusia lain kerana setiap manusia mempunyai hak ke atas masa, tempat dan ruang kehidupannya. Kerana itu harus ada satu cara hidup atau peraturan yang dapat menjamin keharmoniannya, termasuk antaranya ialah persefahaman dan tolak ansur antara seorang individu dengan yang lainnya. 
Pendek kata perlu ada satu set peraturan atau etika yang boleh diterima pakai oleh semua orang: Islam menganjurkan perjalanan hidup manusia melalui syariat. Sebahagian besar dari tuntutan syariat dapat dipenuhi dengan ibadah sembahyang, tetapi dalam konteksnya yang dapat membina syariat.
Syariat kita terdiri daripada tiga iaitu daruriyat, hajiyat dan tahsiniyat. Yang daruriyat wajib ditunaikan, kerana ianya adalah perkara-perkara yang diperintahkan, misalnya sembahyang, puasa, dan ada yang dilarang seperti jangan minum arak, membunuh diri atau menggugurkan anak. Sebagai perkara wajib dan haram kita memang telah menyempurnakannya atau meninggalkannya. 
Yang selalu terabai ialah yang tahsiniyat. Sebabnya mungkin tidak menyedari bahawa ianya adalah berkaitan dengan sembahyang kita. Kita tidak sedar bahawa sembahyang kita ada matlamatnya, dan matlamatnya adalah menjadi sebahagian daripada tuntutan syariat. Jika menyedarinya sekalipun oleh kerana ianya sekadar tahsiniyat, iaitu suatu yang bukan wajib dan haram, kita atau mereka, mengambil sikap kurang peduli terhadapnya. Walhal jika difikirkan dengan mendalam, walaupun tidak wajib atau haram tetapi ianya adalah sebahagian daripada syariat. Meninggalkan atau meremehkannya bererti kita sudah membuang sebahagian daripada syariat Islam. Lalu, apakah hukumnya meninggalkannya. Orang-orang yang menyedari kedudukan ini tidak akan berani mengambil sikap tidak peduli kepada syariat yang tahsiniyat.  
Bagi golongan yang pertama itu boleh dibantu dengan memberikan kefahaman tentang matlamat ibadah sembahyang. Jika kita beri kefahaman yang disokong dengan contoh-contoh dari kehidupan seharian mereka akan mudah menerimanya. Ini dijelaskan oleh buku berjudul SEMBAHYANG ANDA MUNGKIN DITOLAK Walaupun Sah. Penjelasan yang dibuat oleh buku ini sangat realistik, menyentuh secara langsung dengan apa yang kita lalui sendiri, malah besar kemungkinan kita sendiri telah melakukannya. Misalnya soal parking kereta, beratur di kaunter pembayaran, menghalang lalulintas, dan sebagainya. 
Bagi golongan yang kedua itu, iaitu golongan yang faham tetapi memandang ianya tidak berdosa jika menngamalkannya hanya satu sahaja cara untuk mengajak mereka mengubah sikapnya itu, iaitu dengan memberitahunya bahawa sembahyangnya mungkin ditolak. Alasan yang tidak boleh dinafikannya ialah bahawa sebab ditolak itu adalah kerana dia telah meninggalkan sebahagian daripada syariatnya. Inilah antara isi kandungan buku tersebut.
Untuk memberi kefahaman kepada golongan yang pertama itu tadi misalnya kita boleh ambil satu contoh yang berkaitan dengan peraturan parking. Hukum yang berkenaan parking adalah berkait dengan satu hukum dalam bab sembahyang yang menyebut, 'Makruh sembahyang di tempat yang ramai orang lalu seperti di tempat tawaf dan sebagainya'. Mengapa makruh. Jawapan yang paling manasabah ialah kerana menusahkan orang lain yang lalu-lalang. Pengajaran daripada hukum ini ialah jangan membuat halangan. Ini adalah berkaitan dengan akhlak dan keperibadian kita. Kerana itulah maka diadakan ruang parking. Begitulah secara ringkasnya. Buku berkenaan ada penjelasannya yang panjang lebar. Selain daripada satu contoh ini banyak lagi hukum-hakam dalam ibadah sembahyang yang berkait rapat dengan sikap dan keperibadian kita. Jika aspek-aspek seperti yang dicontohkan ini tidak dapat ditanamkan oleh ibadah sembahyangnya maka besar kemungkinannya sembahyangnya akan ditolak.
Antara lain yang dijelaskan oleh buku ini ialah yang berkaitan dengan sikap membuang masa, melakukan kerja-kerja lain ketika bertugas sedangkan kerja-kerja itu tiada kaitannya, mengajar erti konsentrasi dalam segala hal, tentang penampilan kita, tanggungjawab menjaga hak, dan banyak lagi.
Jadi, sembahyang yang tidak dapat mendidik pengamalnya dengan sikap dan keperibadian seperti yang dicontohkan di atas tadi mungkin ditolak.

No comments:

Post a Comment